Kenyataan Media Bersama: Permintaan Penjelasan dan Perkembangan Isu Warga Miskin Kota

Permintaan Penjelasan dan Perkembangan Isu Warga Miskin Kota
Kenyataan Media: 15hb Ogos, 2014

Gabungan untuk Warga Miskin Kota meminta penjelasan dan perkembangan berhubungan isu-isu yang telah dibangkitkan dan/atau dicadangkan oleh pihak kerajaan selepas dua mesyuarat bersama Kementerian Wilayah Persekutuan pada 8/7/2014 dan 23/7/2014, penyerahan suatu memorandum daripada masyarakat miskin kota kepada Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Sri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 22/7/2014 dan kenyataan-kenyataan awam yang telah dibuat sehingga kini.

Sebelum itu, kami ingin menjelaskan bahawa ahli-ahli gabungan yang hadir pada kedua-dua mesyuarat tersebut tidak mempunyai pengetahuan, perbincangan atau bersetuju dengan sebarang pusat sementara yang kononnya telah “dikenalpasti” oleh pihak kerajaan bersama ahli-ahli gabungan.[1] Namun, pihak kerajaan ada mencadangkan bahawa pihak badan bukan kerajaan menguruskan pusat-pusat (yang belum dikenalpasti) tersebut tetapi kami mengingatkan pihak kerajaan bahawa pihak kerajaan dan agensi kerajaan juga memikul tanggungjawab dalam menangani isu warga miskin kota.

Kami menegaskan bahawa operasi pihak badan bukan kerajaan tidak menjejaskan tahap kebersihan di bandaraya Kuala Lumpur seperti yang dinyatakan oleh pihak kerajaan.Sebaliknya, kami ulang permintaan kami untuk penambahan tong sampah di tempat-tempat strategik di bandaraya Kuala Lumpur.[2]

Penjelasan dan status perkembangan yang kami minta seperti berikut:-

  1. Keputusan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung tuntutan kami untuk menghentikan segala Operasi warga miskin kota seperti Operasi Gelandangan, Operasi Qaseh dan Operasi Bersepadu Cantas dan segala Operasi-Operasi lain yang tidak kami ketahui, sebelum sebarang perbincangan dan konsultasi yang telus, ikhlas dan inklusif diadakan bersama warga miskin kota dan pihak badan bukan kerajaan;
  2. Status tuntutan kami untuk pembebasan warga miskin kota yang telah ditangkap dan ditahan secara paksa dan tidak sah;
  3. Tarikh untuk mesyuarat Dewan Bandar bersama masyarakat warga miskin kota, pihak badan bukan kerajaan dan pegawai-pegawai dari pihak kerajaan, seperti yang dijanjikan;
  4. Cadangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan pusat-pusat untuk warga miskin kota dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang antara tujuannya adalah untuk merekod maklumat warga miskin kota dan “pengemis.”[3] Kami risau cadangan yang tergesa-gesa ini dibuat tanpa perbincangan dan konsultasi penuh dengan masyarakat miskin kota;
  5. Samada Dewan Bandar akan meminda dan meluluskan Undang-Undang Kecil untuk menghukum mereka yang memberi dan menerima sedekah[4] tangkapan warga miskin kota kepada pegawai-pegawai DBKL.[5] Kami menegaskan bahawa hukuman, tangkapan dan penyingkiran warga miskin kota dari tempat awam bukanlah penyelesaian total. Kami juga menegaskan bahawa kuasa yang bakal diberikan ini melanggar hak asasi dan sivil warga miskin kota; dan
  6. Status permohonan kami untuk minit mesyuarat-mesyuarat tersebut yang telah diadakan.

Kami juga menggesa supaya pihak kerajaan memberikan pengecualian bayaran denda dan melancarkan proses dokumentasi mereka yang telah hilang kad pengenalan, dokumen-dokumen perjalanan dan suaka.

Kami menyeru supaya pihak-pihak yang berkaitan memberikan maklum balas secara umum kepada orang awam kepada isu-isu tersebut di atas dengan kadar segera. Kami percaya bahawa pihak kerajaan masih komited untuk memperbaiki dan menangani isu-isu kemiskinan kota.

 

Disokong oleh:

  • Dapur Jalanan Kuala Lumpur
  • Food Not Bomb Kuala Lumpur
  • Kaseh4U
  • Kuala Lumpur Urban Fellowship
  • Institut Rakyat
  • Lawyers for Liberty
  • The Nasi Lemak Project
  • Need to Feed the Need
  • Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  • Reach Out Malaysia
  • Region of Love
  • SALT Movement
  • Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  • UBUNTU Malaysia

 


[1] Sila lihat perenggan 3 “Soup Kitchen Can Operate As Usual- Tengku Adnan”, 9/8/ 2014, BERNAMA di http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1059071

[2] Sila lihat perenggan 1 “Soup Kitchen Can Operate As Usual- Tengku Adnan”, 9/8/ 2014, BERNAMA di http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1059071

[3] Sila lihat perenggan 12 “Ku Nan claims authorities will provide better life for homeless”, 4/7/ 2014, The Rakyat Post di http://www.therakyatpost.com/news/2014/07/04/ku-nan-claims-authorities-will-provide-better-life-homeless/

[4] Sila lihat perenggan 6 dan 7 “Foreign beggars enjoying 3-star hotel stay from alms”,3/7/ 2014, NEW STRAITS TIMES di http://www.nst.com.my/node/9173

[5] Sila lihat perenggan 22 “Ku Nan claims authorities will provide better life for homeless”,4/7/ 2014, The Rakyat Post di http://www.therakyatpost.com/news/2014/07/04/ku-nan-claims-authorities-will-provide-better- life-homeless/

Posted in Media Statement and tagged , .