Hentikan Salah Guna Kuasa, Hormati Kebebasan Bersuara

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
KUMPULAN MASYARAKAT SIVIL

24 FEBUARI 2015

HENTIKAN SALAH GUNA KUASA, HORMATI KEBEBASAN BERSUARA

Sejak Mei 2014 sehingga Febuari 2015, lebih 40 orang telah menjadi mangsa salah guna kuasa pihak Polis yang berselindung disebalik Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Di antara mereka termasuklah pemimpin politik, peguam, aktivis sosial, aktivis anak muda, pendakwah agama, dan wartawan. Terbaru, aktivis anak muda Adam Adli, aktivis NGO Jingga 13 Fariz Musa dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan oleh pihak Polis kerana menganjurkan perhimpunan #KitaLawan di perkarangan pusat beli belah Sogo pada 21 Febuari lepas. Adam Adli dan Fariz Musa ditahan serta merta semasa himpunan manakala Nik Nazmi ditahan pada 22 Febuari, jam 10 malam di rumahnya.

Tindakan pihak Polis menyalahgunakan Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan ini bukan sahaja bercanggah dengan perjanjian hak asasi antarabangsa, tetapi turut tidak menghormati hak fundamental yang sedia terjamin di dalam Perlembagaan Persekutan.

Oleh itu, kami kumpulan masyarakat sivil ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap tindakan pihak Polis yang sewenang-wenangnya menafikan hak asasi manusia dengan berselindung disebalik kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Kami juga mengecam tindakan pihak Polis yang memperlakukan hak kebebasan bersuara seperti satu jenayah.

Kami berpendirian, Polis bukan sekadar perlu menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman, tetapi Polis sewajarnya menjadi pelindung bagi memastikan hak ini dapat diamalkan secara bebas tanpa sekatan.

Amat menghairankan apabila Ketua Polis Negara begitu aktif mengawasi laman sosial milik pemimpin pembangkang dan aktivis sosial sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditangkap hanya kerana membuat kritikan di laman sosial Twitter dan facebook.  Apakah ini standard tugas seorang Ketua Polis Negara? Amat memalukan apabila individu nombor satu dalam institusi Polis menggunakan banyak masa untuk memantau laman sosial milik aktivis, sedangkan dalam masa yang sama, Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) melaporkan kes-kes jenayah di Malaysia meningkat sebanyak 20,000 kes dalam masa 60 hari pada tahun 2014.

Kami juga ingin bertanya kepada pihak Kerajaan khususnya Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, apakah ini bentuk Transformasi Politik yang dicanangkan beliau sebagai gagasan politik baru Kerajaan?

Kumpulan masyarakat sivil amat kecewa dengan kelemahan kepimpinan Negara dalam menangani masalah kemiskinan, isu ketaksuban kaum dan agama serta peningkatan kadar jenayah. Kerajaan seharusnya menggunakan sumber yang ada untuk menyelesai masalah-masalah utama ini, dan bukannya sumber tersebut dijadikan perkakas untuk mendiamkan individu-individu yang vokal demi kebaikan Negara.

Kerajaan juga harus berhenti daripada membebankan institusi Kehakiman dan Polis dengan kes-kes palsu yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat. Kes Liwat 2 Anwar Ibrahim merupakan satu contoh terbaik bagaimana dana awam dibazirkan apabila berlakunya pendakwaan terpilih.  Hal ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sasaran ejekan masyarakat antarabangsa.

Tindakan populis seperti pemansuhan ISA dan EO dibuat hanyalah untuk menjaga survival politik Barisan Nasional. Bukan sahaja gagal menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan, bahkan Kerajaan memperkenalkan undang-undang lain yang mencabuli hak asasi manusia seperti SOSMA dan POCA. Malah Kerajaan dikatakan bakal meminda Akta Hasutan bagi meluaskan lagi kuasa Polis.

Kami percaya semua ini dibuat bagi menimbulkan suasana ketakutan atau Culture of Fear dalam kalangan masyarakat bagi mendiamkan suara-suara yang kritikal terhadap kerajaan.

Sewajarnya jika benar-benar ikhlas ingin melakukan transformasi politik, Kerajaan perlu memperkasakan pendekatan politik berhemah yang lebih menghormati pandangan yang bersifat kritikal. Pendekatan yang berorientasikan kekerasan perlu diminimakan disamping memperbanyakkan konsensus dan dialog bagi mewujudkan medium perkongsian yang lebih strategik antara pihak Kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.

Oleh itu, demi demokrasi yang lebih baik, kami kumpulan masyarakat sivil mengulangi tuntutan agar pihak Kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan dan semua akta drakonian yang mencabuli hak asasi manusia. Kewujudan undang-undang ini membuka ruang kepada pihak berkuasa khususnya pihak Polis menggunakannya secara wewenangan demi kepentingan politik pihak tidak bertanggungjawab.

Kami juga menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar meletak jawatan kerana banyak kenyataan dan tindakan beliau yang mencemarkan imej Polis. Seiringi dengan itu kami menggesa agar pihak Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi mereformasi institusi Polis seterusnya memulihkan kepercayaan masyarakat awam terhadap institusi ini.

Sekian. Terima kasih.

Kenyataan Bersama:
KUMPULAN MASYARAKAT SIVIL

Posted in Media Statement and tagged , , , , , , , .