9 Pertuduhan Terhadap Zunar Adalah Bukti Salah Guna Kuasa Kerajaan

3 April 2015

For immediate release

LOGO-FINAL-GHAH

9 PERTUDUHAN TERHADAP ZUNAR ADALAH BUKTI SALAH GUNA KUASA KERAJAAN

Gerakan Hapus Akta Hasutan(GHAH) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan mengenakan sembilan pertuduhan Akta Hasutan terhadap kartunis politik Zulkifly Anwar Ul Haque atau lebih dikenali dengan nama penanya Zunar. Tindakan ini dilihat sebagai satu percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat Malaysia yang terlindung di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Zunar yang sebelum ini pernah beberapa kali ditahan dan di lokap kerana lukisan di dalam buku satira politik milik beliau yang dikatakan berbaur hasutan serta kerana kenyataannya di media sosial berkenaan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengaku tidak bersalah keatas kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Zunar diarahkan membayar wang ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM22, 500 oleh hakim Mahkamah Jalan Duta. Perbicaraan untuk kesemua pertuduhan akan dijalankan pada hari yang sama iaitu pada 20 Mei 2015.

Sebelum ini, hampir 400 buah buku kartun satira politik milik Zunar dirampas dan lima buah buku beliau bertajuk “1 Funny Malaysia”, “Perak Darul Kartun”, “Isu Dalam Kartun” Jilid 1, 2 and 3 telah diharamkan penjualannya oleh Menteri Dalam Negeri dari tahun 2009 hingga 2010. Beberapa buku lain seperti “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN” turut diharamkan serta dirampas. Buku terbaru Zunar bertajuk “Ros in Kangkong Land” turut dirampas polis sewaktu dalam perjalanan ke majlis pelancaran pada 14 Februari 2015 yang lalu.

Selepas ahli politik, peguam, mahasiswa dan aktivis, kini kartunis pula menjadi mangsa kerakusan pemerintah. Kerajaan dilihat akan terus menggunakan akta drakonian ini sebagai senjata bagi mendiamkan segala bentuk kritikan serta apa-apa jua kenyataan yang tidak kena dengan hawa nafsu mereka dan hal ini dilihat akan berterusan sehinggalah akta lapuk yang diberi nama Akta Hasutan, yang telah digubal oleh penjajah British pada tahun 1948 ini dimansuhkan.

Jelas dilihat bahawa Akta Hasutan bukanlah satu cara untuk menjamin keharmonian negara seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan, tetapi merupakan helah politik pihak kerajaan bagi menakut-nakutkan rakyat. GHAH menuntut agar tuduhan hasutan terhadap Zunar dan semua pertuduhan sedia ada digugurkan. Kami sekali lagi mengulangi desakan kami supaya kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan serta-merta, menggugurkan semua pertuduhan hasutan yang sedia ada, dan tidak ada akta gantian dengan peruntukan yang sama.

For inquiry, please contact:

Mr. Mandeep Singh, program manager of Bersih 2.0 at +60 13 222 4482 or outreach@bersih.org

Ms. Michelle Yesudas, lawyer of Lawyers for Liberty at +60 12 259 9237 or michelle.das87@gmail.com

Ms. Serene Lim, Program Coordinator of Suaram at +6012 547 7989 or monitoring@suaram.net

GHAH is a movement supported by 133 civil societies in Malaysia spearheaded by SUARAM, Lawyers for Liberty, IKRAM, among others. The objective of GHAH is to carry out a national campaign to bring to an end to the ever present threat against freedom of expression and opinion by the Sedition Act 1948 that hangs over every Malaysian.

Posted in Latest News and tagged .