EMPOWER Menyokong Anak Muda dalam Penggerakkan Mobilisasi Besar-besaran #TangkapMO1

Kenyataan Media: EMPOWER Menyokong Anak Muda dalam Penggerakkan Mobilisasi Besar-besaran #TangkapMalaysianOfficial1 (#TangkapMO1)
19 Ogos 2016

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) menyokong penuh mobilisasi besar-besaran #TangkapMO1 oleh anak-anak muda kita, diketuai oleh Anis Syafiqah, yang bakal diadakan pada 27 Ogos.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam sidang media mereka pada 20 Julai 2016, telah membuat kenyataan bahawa kes korupsi ini membabitkan wang berjumlah USD681 juta yang telah dicuri daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan telah digunakan sebagai akaun peribadi untuk menampung gaya hidup mewah beberapa individu. Laporan DOJ itu menamakan Riza Aziz, Jho Low dan Malaysian Official 1 (MO1) sebagai mereka yang bertanggungjawab dalam pengkhianatan berbilion ringgit dana awam. Sehingga hari ini, ketiga-tiga individu ini masih bebas malah tidak ada inisiatif bersungguh-sungguh daripada Kerajaan Malaysia untuk bertindak ke atas mereka. Malah Kerajaan Malaysia juga masih enggan untuk mendedahkan siapa sebenarnya individu yang dinamakan sebagai Malaysian Official 1 yang dipercayai sebagai dalang utama di sebalik penyelewengan wang rakyat ini.

Rakyat Malaysia sedang menerima kesan paling buruk dengan kecurangan pengurusan dana awam 1MDB. Kos hidup rakyat semakin meningkat, tahap gaji masih rendah, dan peluang pekerjaan masih kekurangan. Tambahan lagi, daripada meningkatkan peruntukan belanjawan untuk perkhidmatan kesihatan and pendidikan, belanjawan untuk perkhidmatan asas ini dipotong pula. Contohnya, pada tahun ini, peruntukan institut pengajian tinggi awam telah dipotong sebanyak 16.5 peratus; dan dalam pengubahsuaian belanjawan, jumlah biasiswa yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam juga dikurangkan. Sebanyak RM300 juta dipotong dari peruntukan belanjawan untuk keperluan kesihatan awam. Pemotongan peruntukan seperti ini sering digambarkan sebagai satu bentuk simpanan bagi kerajaan, tetapi ia sebenarnya terpaksa dilakukan akibat salah urus kewangan.

Banyak lagi kesan buruk yang telah berlaku yang sangat berkaitan dengan penyelewengan dana awam. Kalau orang yang bertanggungjawab dibiarkan terlepas begitu sahaja, ia hanya akan menggalakkan rompakan harta negara yang berterusan. Ini adalah sebab mengapa EMPOWER menyokong penuh anak-anak muda kita dalam penggerakkan mobilisasi besar-besaran #TangkapMalaysianOfficial1 (#TangkapMO1) mereka pada 27 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Anis Syafiqah dan rakan-rakan seperjuangannya di kalangan Anak Muda merupakan teladan kepimpinan wanita yang baik. Beliau dan wanita-wanita muda kita ini cukup berintegriti dan berani dalam pendirian dan perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan di Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia patut menyokong anak-anak muda kita ini, tak kira bangsa, agama dan apa-apa status yang lain.

Wang kerajaan adalah wang rakyat. Ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam mesti ditegakkan demi perlindungan hak asasi manusia rakyat Malaysia.

Angela M. Kuga Thas
Pengarah Eksekutif
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Posted in Media Statement and tagged , , , , .