Idamkan Pingat Emas Olimpik? Janakuasa Atlet Wanita

Kenyataan Media: Idamkan Pingat Emas Olimpik? Janakuasa Atlet Wanita

19 Ogos 2016

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) menyeru Kementerian Belia dan Sukan serta masyarakat umum untuk memandang pembangunan atlet wanita secara serius. Temasya Sukan Olimpik yang sedang berlangsung membuktikan keperluan untuk menggalakkan wanita menceburi bidang sukan kerana pembangunan atlet wanita mempunyai potensi yang besar.

Masyarakat umum diingatkan untuk menggalakkan wanita supaya menceburi bidang sukan bukan sebaliknya. Kebelakangan ini, pencapaian atlet wanita Malaysia disensasikan di media untuk tujuan-tujuan yang salah. Pemenang pingat perak Olimpik kita, Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong, dikecam kerana mendapat insentif wang pencen RM 3000 seumur hidup, manakala golongan perkhidmatan awam tidak diberikan imbuhan yang setimpal sesudahnya perkhidmatan mereka.[1] Lebih teruk lagi apabila atlet gimnastik wanita Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi bukannya dipuji kerana menyumbangkan pingat dalam Sukan SEA tetapi menerima kritikan yang teruk oleh netizen akibat pemakaian beliau ketika bertanding.[2] Respon-respon sedemikian rupa daripada rakyat Malaysia sememangnya menghambat motivasi para atlet yang sudah banyak berjasa demi negara.

Pencapaian atlet-atlet wanita di Rio jelas menunjukkan bahawa mereka mampu mengharumkan nama negara di persada dunia. Tatkala Malaysia meraikan pingat perak pertama daripada pasangan terjunan wanita berirama platform (10 meter) Selasa lepas, atlet-atlet wanita Thailand sudahpun merangkul dua pingat emas temasya olimpik dalam acara angkat berat wanita dalam kategori 48kg dan juga 58kg. Perkara ini sudah pasti membanggakan bukan sahaja Thailand, malah seluruh ASEAN.

Jika difokuskan semula kepada atlet-atlet wanita Malaysia, kejayaan atlet kita yang membanggakan Malaysia bukan sahaja terhad kepada pencapaian dalam temasya sukan tersebut. Atlet tersohor sukan skuash Dato’ Nicol Ann David sungguh mendominasi sukan tersebut sehinggakan beliau dinamakan oleh akhbar The Telegraph sebagai salah satu daripada 20 Atlet Terhebat Kini seiring dengan atlet ternama seperti Cristiano Ronaldo dan Usain Bolt.[3]

Oleh hal yang demikian, EMPOWER menyeru Kementerian Belia dan Sukan supaya memastikan peruntukan kewangan dibahagikan secara saksama antara atlet-atlet, pegawai-pegawai, program pembangunan dan pembayaran hadiah kemenangan atlet lelaki dan wanita. Bekas atlet negara Noraseela Khalid, dalam sebuah temubual bersama Sharon Wee untuk Stadium Astro, pernah meluahkan bahawa: “Adalah satu diskriminasi sekiranya pembayaran hadiah kemenangan tidak sama hanya atas sebab perbezaan jantina. Dalam pergerakan Olimpik menekankan ciri-ciri seperti ‘equality, justice and fair play’. Setiap atlet baik atlet wanita atau lelaki perlu melalui perjalanan kerjaya sukan yang sama, berlatih berpuluh jam seminggu. Titik peluh dan usaha serta pengorbanan atlet sangat besar”.[4] Maka, terdapat keperluan untuk mengkaji semula peruntukan kewangan dalam pembangunan sukan di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika atlet wanita Malaysia kini sedang giat melakarkan sejarah dalam temasya Olimpik.

Dalam merealisasikan potensi pembangunan sukan tanahair sepenuhnya. Pembangunan atlet-atlet wanita tanahair harus diberikan perhatian serius melalui sokongan masyarakat dan peruntukan kewangan yang saksama. EMPOWER berpendapat bahawa perjalanan mendapatkan pingat emas Olimpik Malaysia melalui penjanaan kuasa wanita bukan sahaja mampu memudahkan perubahan sosial di Malaysia mengikut arus semasa malahan memperkasakan sesebuah komuniti kearah masyarakat madani yang egalitarian.

 

Rizal Rozhan

Pegawai Advokasi dan Dokumentasi

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

0377844977 / 0133488483

empower05@gmail.com / upr@empowermalaysia.org

[1] http://says.com/my/seismik/lelaki-lapor-polis-tak-puas-hati-atlet-dapat-pencen-rm3-000

[2] http://www.independent.co.uk/news/world/asia/muslim-gymnast-farah-ann-abdul-hadi-criticised-for-revealing-leotard-worn-in-double-gold-win-but-her-10325444.html

[3] Telegraph.co.uk. (2016). Nicol David | From Simone Biles to Usain Bolt: The 20 greatest athletes in the world right now – Olympics. [online] Available at: http://www.telegraph.co.uk/olympics/2016/08/09/from-simone-biles-to-usain-bolt-the-20-greatest-athletes-in-the/nicol-david/ [Accessed 18 Aug. 2016].

[4] Stadiumastro.com. (2016). $$$ Berbeza! Diskriminasi Untuk Atlet Wanita | Blog – BM | Stadium Astro. [online] Available at: http://www.stadiumastro.com/ms/blog/blog/2016/06/20/$$$-berbeza!-diskriminasi-untuk-atlet-wanita [Accessed 18 Aug. 2016].

Posted in Media Statement and tagged , .