Manifesto Politik: Janji Apa Yang Harus Dipertanggungjawabkan?

Manifesto Politik: Janji Apa Yang Harus Dipertanggungjawabkan?

Hari mengundi semakin dekat. Ironinya, kita melihat kain rentang Barisan Nasional (BN) melaungkan slogan yang dipopularkan oleh perarakan Bersih, “Hidup Rakyat”. Saya rasa menarik juga jika kita membedah sebab musabab BN memilih slogan “Hidup Rakyat” sebagai sorakan raih undi. Tetapi, adalah lebih penting untuk kita melihat manifesto politik yang dikeluarkan parti politik secara lebih dekat. Cubaan ini mungkin belum begitu menyeluruh, tetapi harapnya dapat membantu pengundi di ambang PRU14 ini.

 

 

Rakyat Malaysia mempunyai bukan sahaja tiga manifesto daripada Pakatan Harapan (PH; yang dipanggil Buku Harapan), BN (yang dipanggil Bersama BN, Hebatkan Negaraku) dan Gagasan Sejahtera (GS; yang dipanggil Manifesto Malaysia Sejahtera). Malah, kita juga mempunyai “Manifesto Untuk 99%” yang diketengahkan oleh Gabungan Kiri dan diterima pakai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Kita juga tidak seharusnya lupa dengan Manifesto Wanita, atau “Women’s Manifesto” daripada masyarakat sivil, yang telah menerima sejumlah 82 sokongan. Manifesto Wanita juga disokong oleh calon politik dan pegawai-pegawai, terutamanya dari Pakatan Harapan dan juga Parti Rakyat Malaysia (PRM; untuk senarai lengkap calon parti politik yang menyokong secara peribadi, senarai nama itu boleh didapati di www.manifestowanita.empowermalaysia.org/endorsements. Sila semak jika nama calon politik di tempat anda tersenarai di laman web Manifesto Wanita. Jika calon politik di tempat anda tidak tersenarai sebagai penyokong Manifesto Wanita, bolehlah tanya mereka.*

 

 

Sebuah manifesto adalah kenyataan lisan yang diterbitkan tentang niat, motif atau pandangan sang penulis manifesto tersebut. Manifesto boleh dikeluarkan oleh individu, kumpulan, parti politik atau kerajaan. Sebuah manifesto selalunya menerima pendapat yang telah diterbitkan sebelumnya, atau konsensus (persamaan pendapat) awam, atau mempromosi idea baru yang disertakan dengan rangka kerja dan arahan spesifik tentang bagaiman untuk untuk menjalankan perubahan, menurut wawasan sang penulis manifesto.

 

 

Mengapa saya menekankan definisi sebuah manifesto? Kerana, sebuah manifesto tidak seharusnya mengandungi janji untuk melakukan apa yang sesebuah kerajaan harus lakukan untuk rakyatnya. Berikut adalah contoh jika kita semua sudah lupa apa yang sepatutnya kerajaan wajib buat untuk kita, rakyat Malaysia:

 

 

  1. Untuk meringankan kemiskinan yang dideritai oleh pelbagai kumpulan yang rentan, seperti ibu tunggal, para petani, para nelayan, rakyat di dalam kategori pendapatan B40, dan untuk melaksanakan polisi, langkah-langkah dan program yang merentasi etnik, agama dan pelbagai lagi bentuk penanda pengenalan, dan memastikan tiada penyelewengan dan ketirisan, termasuklah eksploitasi daripada orang tengah. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan. Meringankan kemiskinan juga merupakan komitmen yang dilakukan pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketika proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang pertama.
  2. Untuk meningkatkan jumlah pekerjaan dan menaiktaraf kemahiran rakyat untuk boleh terus bekerja. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan. Ini juga merupakan komitmen yang dilakukan pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketika proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang pertama.
  3. Untuk meningkatkan sistem pendidikan dan memperbaiki keadaan, peralatan dan kualiti guru dan proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan, yang juga merupakan komitmen yang dilakukan pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketika proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang pertama.
  4. Untuk menyediakan perumahan yang mampu milik, mencukupi dan bagus kualitinya. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan, yang juga merupakan komitmen yang dilakukan pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketika proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang pertama.
  5. Untuk menyediakan khidmat kesihatan yang mampu milik, boleh diakses dan tinggi kualitinya. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan, yang juga merupakan komitmen yang dilakukan pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketika proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang pertama.
  6. Untuk menyediakan pengangkutan awam yang mampu milik dan boleh diakses. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan.
  7. Untuk memastikan penubuhan sistem pelepasan bencana dan sistem sokongan yang bagus dan responsif, dan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Ini adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan.
  8. Untuk menegakkan Perjanjian Malaysia 1963. Ini bukan sahaja peranan dan tanggungjawab kerajaan, malah ia juga batu asas kepada pembentukan negara kita yang tercinta, Malaysia.

 

 

Sebuah manifesto politik seharusnya menunjukkan perubahan yang akan dibawa, dengan cara menunjukkan bagaimana ia seharusnya dilakukan, dan bukan sekadar janji kosong yang dangkal. Sebuah manifesto seharusnya membincangkan secara konkrit tentang hasil negatif sistem kerajaan sekarang. Maksudnya, sebuah manifesto seharusnya menunjukkan kelemahan dari segi ketelusan dan kebertanggungjawaban (‘accountability’) di atas kuasa, dan memberi cadangan bagaimana parti politik yang terlibat seharusnya menangani kelemahan ini. Sebuah manifesto seharusnya menceritakan tentang perubahan di dalam sistem, dan pembaharuan yang wajib untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat. Hal ini termasuklah melindungi posisi undang-undang tertinggi di tanah air kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Semua artikel di dalam Perlembagaan Persekutuan sama penting untuk ditegakkan, sebab itulah ia dikumpulkan dan diangkat sebagai Perlembagaan. Contohnya, penekanan tentang artikel 3(1) dan artikel 3(4) adalah sangat penting.

 

 

Kita, rakyat Malaysia, mungkin terlepas pandang perkataan yang membingungkan seperti “pemerkasaan kepenggunaan”, jika dibandingkan dengan “memperkasakan para pengguna”. Selain itu, penggunaan frasa seperti “pengurusan mampan” jika dibandingkan dengan “pembangunan mampan” untuk ekonomi perhutanan. Saya pasti, sebahagian daripada kamu faham perbezaan antara keduanya. Tetapi bagi saya, dengan menambah perkataan “mampan” kepada perkataan lain tidak memberi kemampanan kepada usaha-usaha eksploitasi. Ada bahagian di dalam manifesto BN yang agak kelakar, iaitu pencampuran secara sengaja “pendapatan dengan pampasan kepada pekerja” sebagai sebuah janji ke arah pembahagian kekayaan yang sama rata. Ayat ini bermaksud bahagian pendapatan pekerja dalam keadaan sebenar masih di tahap yang sangat rendah, 20%, tetapi tertera sebagai 40% daripada KDNK kerana subsidi kerajaan, program kebajikan dan pemberian BR1M. Saya tidak akan menyalahkan sesiapa jika ada yang silap dan percaya dengan janji ini. Hal ini memberi mereka alasan menghabiskan duit rakyat dan membiarkan rakyat bergantung kepada pemberian kerajaan, walhal sepatutnya rakyat harus diperkasakan secara ekonomi.

 

 

Jika sebuah parti politik atau gabungan parti-parti politik berjanji kepada kita, rakyat Malaysia, berjanji perkara yang seharusnya menjadi tanggungjawab dan peranan kerajaan; dan bukannya menyatakan tentang apa sebenarnya masalah, apa sebenarnya kekurangan mereka, dan bagaimana mereka harus menangani masalah ini – apa yang seharusnya kita katakan tentang parti politik atau gabungan politik seperti ini? Contohnya, mengapa BN tidak menjanjikan sebuah Akta Kebebasan Maklumat di peringkat persekutuan, tetapi menjanjikan sebuah jendela maklumat B40 (‘B40 information window’)? Kita kan dah seharusnya bergerak ke arah sebuah masyarakat yang lebih terbuka, telus dan bertanggungjawab? Cukup mengejutkan, atau mungkin tidak berapa mengejutkan, janji untuk gaji sara hidup (living wage), bukan gaji minima, sangatlah susah untuk dimasukkan ke dalam manifesto BN, PH dan GS. Hanya Manifesto Wanita dan Manifesto Untuk 99% yang menuntut janji begini. Hanya Manifesto Wanita dan Manifesto Untuk 99% yang menyebut secara jelas ke arah promosi dan perlindungan hak asasi manusia, termasuklah hak untuk maklumat, demokrasi penyertaan dan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan memberi kelebihan kepada kaum buruh dan pekerja wanita. Hanya Manifesto Wanita dan Manifesto Untuk 99% yang menuntut calon politik dan mereka yang mempunyai jawatan di dalam politik untuk mengisytiharkan aset mereka. Hanya calon politik PSM yang menegakkan janji itu. Adakah calon politik di tempat anda berbuat benda yang sama?

 

 

Namun, bukan semuanya mengecewakan jika kita memeriksa semua manifesto ini melalui ‘kanta analisis kuasa’ (‘power analysis lens’). Tetapi, analisa ini datang dengan langkah berjaga-jaga (‘caveat’). Sebagai pengundi, kita mesti melihat calon politik di tempat kita dan memeriksa rekod mereka. Dengan mempertimbangkan ramai calon yang agak baru, saya cadangkan kita semua memeriksa apa yang mereka katakan secara awam, apa isu yang mereka ketengahkan, dan jika mereka korup, rasis, seksis dan misoginis (misogynist, maksudnya ‘prejudis dan kebencian terhadap kaum perempuan’).

 

 

Membolehkan kesaksamaan gender: Hal ini menjadi sebuah isu yang semakin tidak diterima di Malaysia, kerana budaya kita mempunyai nilai-nilai yang sangat patriarki di dalam institusi agama dan institusi bukan-agama. Namun, Manifesto PH, seperti Manifesto Wanita, telah cuba untuk menyelesaikan isu yang sukar dengan berjanji di dalam manifestonya – untuk menubuhkan sebuah institusi kepimpinan politik untuk menyediakan lebih banyak wanita untuk masuk ke arena politik. Penubuhan institusi ini akan menyumbang ke arah kemungkinan untuk mencapai 30% penyertaan wanita di dalam politik, bahkan mungkin lebih daripada itu. Selain daripada janji untuk menerima pakai sistem bajet responsif-gender untuk bajet nasional, pengajian gender juga akan diselaraskan di dalam setiap tahap sistem pendidikan. PH juga akan berusaha ke arah rangka kerja perundangan yang akan menyokong tuntutan wanita untuk “gaji yang sama rata untuk kerja yang sama rata”. PH kelihatan begitu komited untuk membawa perubahan budaya dengan mewajibkan majikan untuk menjalankan latihan terhadap gangguan seksual. Saya hanya berharap supaya mereka akan membawa masuk jurulatih yang layak, daripada kumpulan hak asasi wanita yang telah berkerja sekian lama untuk menangani isu ini, seperti All Women’s Action Society (AWAM). Pelbagai komitmen yang telah dinyatakan tadi akan membawa perubahan budaya, ditengah-tengah kebangkitan seksisme dan misogini terhadap wanita, merupakan usaha yang harus dipuji. Tidak ada sepatah pun daripada manifesto BN yang menyebut tentang perubahan budaya yang sangat diperlukan sekarang. Bukan itu sahaja, Najib Razak masih mahu mengambil sekurang-kurangnya satu posisi yang harus diketuai oleh wanita, iaitu pengerusi Majlis Ekonomi Wanita. Dengan sangat pantas, mereka berjanji untuk menguatkuasakan Akta Anti Gangguan Seksual selepas penguatkuasaan Akta Berita Palsu, yang merupakan sebuah langkah yang harus dipersoalkan, jika mengambil kira akan sejarah Akta Anti Gangguan Seksual yang telah dibangkitkan oleh kumpulan hak asasi wanita kepada kerajaan BN sejak tahun 2002 lagi. Manifesto Untuk 99% layak untuk diberi perhatian juga, kerana manifesto ini menuntut komitmen jangka masa panjang dan perubahan mampan di dalam satu rangka kerja perundangan. Seperti Manifesto Wanita dan Buku Harapan, Manifesto Untuk 99% mengiktiraf keperluan untuk menambah perwakilan wanita dan penyertaan di dalam pembuatan keputusan dan kehidupan awam, antara lainnya. Manifesto Untuk 99% telah mengarus perdanakan tuntutan yang akan menegakkan kesaksamaan gender di dalam pelbagai bahagian di dalam dokumen manifesto itu, seperti bahagian yang bertajuk “Demokrasi Sebenar”. Manifesto Wanita masih merupakan dokumen yang paling komprehensif, yang akan memperincikan perubahan yang diperlukan tentang kedua-dua isu kesaksamaan gender dan isu pemerkasaan wanita, dan juga ke arah mencipta sebuah persekitaran yang membolehkan kesaksamaan gender berkembang maju. Kami harap, sesiapa yang terpilih untuk berkuasa, akan masih merujuk kepada Manifesto Wanita untuk menjadi pemimpin politik yang komited ke arah pembasmian ketidak-saksamaan gender, diskriminasi seksual dan gender dan keganasan di dalam negara ini.

 

 

Meneruskan kebertanggungjawaban struktur kuasa dan Eksekutif: Buku Harapan oleh PH, manifesto GS, Manifesto Untuk 99% dan Manifesto Wanita telah menyuarakan perubahan yang diperlukan. Janji-janji di dalam manifesto GS dan PH harus dipuji. Mungkin di sini kita harus memberi tumpuan kepada garis masa manifesto ini dibangunkan dan dilancarkan. Manifesto Untuk 99% dilancarkan dahulu, dan kemudian diikuti oleh Manifesto Wanita dan manifesto PH yang dilancarkan pada masa yang sama, dan akhirnya dua manifesto selanjutnya oleh GS dan BN. Oleh itu, manifesto-manifesto ini terdapat banyak persamaan, mungkin kerana hal ini telah dibangkitkan di dalam Manifesto Untuk 99% dan Manifesto Wanita. Tetapi untuk kepastian, Kita hanya boleh melihat keikhlasan mereka melalui tindakan sebenar dan susulan. Contohnya, manifesto GS tidak menyebut apa-apa tentang bagaimana ia mahu memastikan keseimbangan kuasa dan kebertanggungjawaban di antara tiga cabang kuasa kerajaan – Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Sila kaji janji-janji ini dengan berhati-hati, kerana jika anda lihat di permukaan, semuanya nampak baik. Lihat jika janji di dalam manifesto tersebut menyatakan secara terang tentang cara untuk memenuhi semua yang dijanjikan. Kerana, anda masih boleh mempunyai seorang pemimpin yang dipilih, yang menangani korupsi tetapi merupakan seorang yang seksis, misoginis (prejudis terhadap wanita) dan menindas wanita dengan melemahkan kebebasan dan autonomi tubuh badan mereka. Lihat secara dekat tentang isu-isu yang disuarakan calon-calon politik anda. Jika mereka orang baru, lihat kepada parti politik yang disertai calon anda – adakah parti itu berjuang untuk isu dan kebimbangan sebegini? Jika calon politik anda (Parlimen atau ADUN) telah merisikokan keselamatan peribadi (dan keselamatan keluarga mereka) untuk menuntut kebertanggungjawaban kuasa, anda tahulah bagaimana untuk menyimpulkan dan membuat keputusan tentang integriti mereka. Perhati juga tadbir urus negeri dan persekutuan secara keseluruhan, dan buatlah penilaian sendiri.

 

 

Meneruskan kebertanggungjawaban pemilik modal dan kuasa korporat: Manifesto Untuk 99% jauh melangkaui manifesto-manifesto yang lain di dalam hal ini, kerana secara terasnya Manifesto Untuk 99% merupakan manifesto untuk golongan pekerja. Manifesto Wanita juga mengambil berat tentang golongan petani, golongan nelayan, keselamatan sumber makanan, pertanian yang mampan dan projek tenaga yang boleh diperbaharui yang tidak memusnahkan alam sekitar. Terdapat juga janji-janji yang lebih kurang sama daripada PH dan GS. PH lebih berfokus kepada syarikat yang berkait dengan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan yang berkait dengan kerajaan (GLIC). Manifesto GS pula lebih berfokus kepada kesejahteraan perusahaan kecil dan sederhana, dan rakyat Malaysia di dalam sektor pertanian. Tetapi, parti politik tidak boleh mengabaikan hak-hak pekerja jika mereka komited untuk menangani ketidak-seimbangan kuasa ini.

 

 

Membawa pembahagian kekayaan yang lebih sama rata di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, termasuklah penilaian semua status Sabah dan Sarawak di dalam perjanjian 1963: Saya bukanlah orang Borneo, jadi saya tidak akan menyentuh janji yang dibuat kepada orang Sabah dan Sarawak. Orang Sabah dan Sarawak yang lebih ada hak untuk membincangkan janji-janji yang dibuat untuk mereka. Tetapi, isu pembahagian kekayaan yang lebih sama rata di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri nampak agak jelas di dalam manifesto PH dan GS. Hal ini boleh menjadi halangan untuk mencapai keadilan dalam pembangunan (development justice) di tahap negeri. Namun, ketelusan cara pengurusan dana dan kebertanggungjawaban seharusnya menjadi pertimbangan utama di dalam isu ini.

 

 

Keadilan di dalam perlindungan alam sekitar (‘environmental justice’): Setakat ini, Manifesto Untuk 99% jauh mengatasi manifesto politik yang lain di dalam hal ini. Jika kita mengambil berat tentang alam sekitar, dan dunia yang boleh dinikmati oleh anak-anak, cucu-cucu dan cicit kita nanti, kita haruslah mempertimbangkan janji yang terkandung di dalam Manifesto Untuk 99%, yang telah disokong penuh dan diambil sebagai manifesto sendiri oleh PSM (Parti Sosialis Malaysia). Manifesto Wanita juga membuat tuntutan yang sama, dengan mengambil perhatian tentang bagaimana wanita terkesan dengan isu sebegini. Kita memerlukan lebih banyak janji-janji yang radikal jika kita mahu dunia yang lebih baik untuk dinikmati oleh anak-anak dan cucu cicit kita pada masa depan.

 

 

Saya tidak mempunyai keraguan bahawa ada sebahagian daripada janji-janji di dalam manifesto tersebut yang akan menarik sebahagian daripada rakyat Malaysia, secara menyeluruh. Terutamanya jika janji-janji dalam manifesto itu berkenaan pemberian, pengurangan cukai dan subsidi. Jika ada yang masih keliru, undi yang didapati melalui ugutan dan paksaan di atas nama Tuhan atau ayat suci adalah sejenis keganasan. Pemberian-pemberian sebegini, tidak akan dan tidak mungkin akan dapat menangani akar masalah yang bersangkutan dan isu-isu yang dihadapi rakyat. Semua itu bukan… haa tunggu perkataan ini, ‘penyelesaian yang mampan’. Jika anda dimakan pujuk rayu janji-janji sebegini, fikir semula dan fikir sekali lagi. Bagaimana janji itu dinyatakan? Adakah pernyataan tentang siapa yang akan mendapat manfaat daripada janji itu disebut dengan terang dan jelas? Apa maksud janji itu kepada anda melalui erti kata yang sebenar? Contohnya, pengurangan cukai untuk pendapatan menerusi sewa rumah adalah untuk pemilih modal. Mereka yang mempunyai banyak rumah sewa akan berasa gembira. Jika ada janji untuk mengurangkan kos perumahan, kita harus bertanya, faedah itu adalah untuk kategori pendapatan yang mana satu, dan adakah penjualan rumah-rumah ini terhad kepada sebahagian kategori pendapatan sahaja? Jika kebanyakan janji yang dibuat adalah untuk meningkatkan pendapatan melalui satu cara atau pelbagai cara kecuali cara yang benar-benar boleh terjadi, realistik dan juga lebih mampan – apa sebenarnya yang manifesto itu mahu katakan? Saya menggalakkan setiap pengundi untuk bertanya soalan. Bagaimana manifesto-manifesto ini melihat duit rakyat yang dibelanjakan oleh kerajaan? Paling kurang tiga daripada manifesto ini – Manifesto Untuk 99%, Manifesto Wanita dan Buku Harapan – melihat dana ini sebagai wang rakyat. Jadi, tanya banyak soalan dan jangan ambil nilai muka janji-janji yang anda baca. Jika saya belum cukup menekankan hal ini, sila lihat rekod calon politik anda dengan teliti. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pilihan raya umum yang hanya akan terjadi lima tahun sekali, untuk melihat kebertanggungjawaban dan ketelusan pemimpin-pemimpin kita. Kita, sebagai rakyat Malaysia, juga mesti mampu menurunkan dan mengeluarkan mereka sebelum penggal mereka berakhir. Ingat, pada simpang yang sangat penting ini, calon kerusi ADUN dan calon kerusi Parlimen anda, masih hanya calon. Mereka menarik minat anda untuk sebuah kerja yang memerlukan integriti dan kebertanggungjawaban untuk rakyat Malaysia. Tangan anda mempunyai kuasa untuk memutuskan jika mereka layak untuk jawatan sebegitu, sebagai seorang pemimpin yang dipilih. Anda tidak boleh dihalang menerusi apa-apa paksaan, atau dipujuk rayu janji-janji kosong. Anda harus menuntut, supaya mereka bersungguh-sungguh memperolehi kepercayaan anda – dan akhir sekali, undi anda.

 

 

Untuk EMPOWER dan kerja kami di dalam bidang kesaksamaan politik wanita, janji untuk meletakkan 30% pencalonan wanita telah pun ‘dicapati’. Hanya 20% sahaja wanita di dalam pencalonan pilihan raya kali ini. Namun, kami tidak putus asa. Kami akan sentiasa komited ke arah visi dan misi kami. Kini, kami sedang mendokumentasi keganasan yang berlaku ke atas calon politik wanita, termasuk manipulasi fakta yang digunakan untuk menentang calon wanita. Jika anda merupakan seorang mangsa, sila tag EMPOWER, dan kami akan memantau, cuba untuk mengesahkan, dan memberi tindak balas.

 

 

Angela M. Kuga Thas

Pengarah Eksekutif

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

 

 

*Manifesto Wanita kini sedang disebarkan di semua tempat oleh EMPOWER, dengan sokongan Cik Nive Yong, Ketua Sayap Wanita untuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) Cawangan Selangor