Arutselvi (Selvi)

Nama saya Arutselvi Amalanathan dari Kuala Selangor. Sekarang, saya bekerja untuk Parti Amanah cawangan Kuala Selangor. Saya masih bekerja dengan Dr. Zul yang merupakan bos saya, dan kami sedang melakukan banyak aktiviti untuk orang ramai, terutamanya golongan wanita. Selain itu, kami juga sedang cuba melakukan banyak aktiviti kebajikan, tetapi kami menghadapi masalah pengumpulan dana. Jadi, kami lakukan apa yang boleh dilakukan, dengan pertolongan dan tajaan daripada yang lain. Itulah latar belakang kerja saya.

Saya mula mengenali EMPOWER sekitar tahun 2009, 2010 – sekitar masa itu. Pada mulanya saya bekerja untuk Tenaganita, dan Pengarah Eksekutifnya ialah Dr. Irene Fernandez, maka ketika itu saya sedang melakukan sebuah projek permulaan untuk pekerja ladang.Kami berjumpa Dr Irene Fernandez di SUK (Kerajaan Negeri Selangor), bersama dengan EXCO YB Rodziah (Pembangunan Wanita), untuk membantu pekerja ladang untuk memperkasakan ekonomi mereka. Saya diberi peluang untuk memberi sebuah ceramah motivasi tentang bagaimana untuk membangun dan memperkasakan wanita daripada ladang. Ketika itulah saya berjumpa dengan Puan Janatharni Arumugam, dan beliau mengajak saya untuk menyertai EMPOWER. Ketika itulah saya mula mengenali EMPOWER. Beliau memperkenalkan saya kepada EMPOWER; apakah usaha dan peranan EMPOWER dalam membangunkan wanita, dan untuk mengenalpasti kepimpinan di dalam kalangan wanita luar bandar.

Sebenarnya saya telah menghadiri beberapa latihan yang dijalankan oleh EMPOWER. Pengalaman yang paling saya ingati ialah ketika saya pergi ke Bandung. Saya mendapat peluang untuk ke Bandung melalui EMPOWER. Di sana, kami belajar banyak tentang kepimpinan, dan di sana saya dapat mengenali ramai pemimpin dari pelbagai peringkat, daripada wanita di posisi yang lebih tinggi kepada pemimpin akar umbi. Di sana, kami berkongsi idea dan pengalaman. Kami berkawan, status dan benda-benda lain tidak lagi penting kepada kami. Kami boleh melihat perpaduan di antara wanita di dalam kursus kami ketika itu. Ketika saya menghadiri kursus di Bandung, antara yang istimewa ialah kami dapat peluang melawat suatu tempat yang dipanggil Jawa Barat, di mana kawasannya mempunyai lebih ramai pemimpin wanita berbanding pemimpin lelaki. Mereka melantik wanita untuk semua posisi, daripada presiden kepada naib presiden. Kami nampak yang majoriti golongan wanita di sana diberi peluang untuk memerintah negeri, tanpa bergantung kepada lelaki. Ia menunjukkan yang kita, kaum wanita, boleh melakukannya jika diberi peluang. Semuanya bergantung kepada peluang.

Untuk kursus di Bandung, hanya beberapa daripada kami mewakili Malaysia. Peserta lain datang dari negara lain seperti Indonesia, Thailand, Timor Leste dan Cambodia.

(Untuk EMPOWER kekal relevan kepada saya dan wanita di Malaysia), secara khususnya merujuk kepada titik pandangan wanita di kawasan saya, kami kekurangan peluang dari segi pemerkasaan ekonomi. Wanita kita perlu mencari sejenis dana atau kewangan. Mereka sangat ketinggalan dari segi kebolehan kewangan. Di tempat saya, untuk membawa wanita keluar untuk menyertai program kepimpinan atau program yang lain, kebimbangan mereka adalah dari aspek kewangan. Sebabnya, kebanyakan mereka bekerja di dalam sector pertanian, dan sebahagian daripada mereka berada di kampung-kampung nelayan; mereka membantu suami mereka. Ketika suami mereka turun ke laut, mereka akan mengumpul kerang laut dan benda lain yang boleh menambah pendapatan. Pada masa yang sama, mereka yang bekerja di ladang tidak ada pilihan dan mereka mengumpul buah relai daripada ladang kelapa sawit untuk menjana pendapatan tambahan. Mereka sangat tidak berpendidikan, dan sebahagian daripada mereka berkahwin awal. Mereka tidak mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran. Ketika kami mendekati mereka untuk mengajak mereka menyertai latihan kami, mereka memberi alasan untuk mengutamakan sara hidup dahulu. Mungkin ketika kita menjalankan kursus latihan nanti, kita boleh memberi idea bagaimana untuk melakukan pemasaran, dan menjadi usahawan yang bekerja sendiri. Saya rasa situasinya sama dengan kaum wanita lain di Malaysia, terutamanya kawasan luar bandar.

Wanita-wanita ini tidak mendapat maklumat tentang program dan bantuan kerajaan untuk usahawan kecil dan sederhana. Inilah masalah utama sekarang. Ketika kerajaan mengumumkan program sebegitu, mereka akan mengadu yang mereka tidak dapat maklumat tersebut. Program dan projek kerajaan akan disasarkan kepada kumpulan orang yang sama. Hanya orang yang sama yang akan menyertai kursus ini. Orang lain yang tidak mengetahui tentang program dan projek ini akan berterusan diabaikan.

Jika saya harus menerangkan tentang EMPOWER kepada orang asing yang tidak pernah mendengar tentang EMPOWER, saya akan meletakkan diri saya dahulu sebagai contoh, kerana saya dahulunya “kosong” dalam kepimpinan. Ketika itu, saya hanya mengikut cakap bos saya. Hanya selepas saya menghadiri latihan oleh EMPOWER, saya tahu yang saya perlu buat lebih banyak untuk membangunkan diri saya, dan ada orang di sekeliling saya yang telah membantu wanita-wanita lain. Kita harus berkawan dengan kumpulan wanita yang lain juga, untuk berkongsi idea dan pengalaman. Di EMPOWER, sejujurnya saya mendapat pelbagai faedah. Dahulu, saya agak anti-sosial – saya tidak berkawan dengan orang yang saya tidak kenali. Namun kini, saya mula melangkah ke hadapan untuk memperkenalkan diri saya kepada orang lain, tanpa mengira latar belakang. Inilah cara saya untuk memperkenalkan EMPOWER kepada orang lain. Ada juga beberapa orang kawan saya yang telah menghadiri latihan EMPOWER di kawasan saya. Saya juga akan menggunakan mereka sebagai contoh, jadi orang lain boleh tahu lebih lanjut tentang EMPOWER.

Saya sangat berterima kasih kepada EMPOWER, terutamanya Maria Chin, Jana, Li Yoon dan Shu Shi semestinya – mereka telah memberi saya banyak sokongan dan peluang untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang kepimpinan dan cara untuk mengatasi masalah, dan untuk menjadi lebih bebas. Sekarang, saya mampu memimpin parti sendiri, di mana saya menjadi naib ketua. Saya belajar tentang kepimpinan di EMPOWER, dan EMPOWERlah yang memberi saya keyakinan dan memberi sokongan kepada saya untuk memperkasakan diri sendiri. Kini, saya mempunyai peluang untuk mengenalpasti bakal pemimpin dalam kalangan belia.

Kuala Selangor, 31 Julai 2016