Morni

Saya ni orang miskin. Dulu saya tak berani bergaul. Saya malu berhadapan orang. Tetapi selepas saya masuk JKOASM (Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia) dan NGO sendiri, dari situlah mulanya saya bergaul dengan orang luar.

Saya mula mengenali EMPOWER dari JKOASM. Saya pertama kali menyertai bengkel EMPOWER di Petaling Jaya pada tahun 2015. Sudah nak dekat dua tahun lah. Dalam masa ini, saya sudah menyertai lima atau enam bengkel dengan EMPOWER. Saya suka!

Masa saya mulai mengenali EMPOWER, masa tu saya memang tak tahu apa-apa. Sebelum saya menyertai bengkel EMPOWER, saya tak berani nak berhadapan orang luar, nak keluar, nak bercakap. Setelah saya kenal EMPOWER, EMPOWER banyak tolong saya, dan bermula dari situlah saya berani berbual dan bergaul dengan orang luar, bercakap, beranilah nak ke hadapan untuk mempertahankan hak wanita. EMPOWER bantu dari segi macam mana nak bercakap. Masa saya dibawa oleh EMPOWER berjumpa MP hari tu, saya bercakap dengan MP tersebut, berkenaan dengan pendidikan Orang Asli.

Saya tidak berpendidikan tinggi, setakat SRP sahaja. Tak tahulah, saya memang orang susah. Pertama kali saya nak keluar pun, ada masalah kewangan, tetapi saya cubalah, kalau boleh, saya nak bimbing wanita-wanita Orang Asli lah untuk berani ke hadapan sebab ramai wanita Orang Asli yang masih lagi ketinggalan, yang masih lagi tak tahu apa yang berada di luar. Ketinggalan dari segi maklumat, dari segi pendidikan, hal-hal tanah, bermacam-macam isu.
Cara saya membimbing tu, taktik saya ada. Kalau ada kenduri sebelah, saya akan pergi. Kalau ada orang sakit, saya akan pergi. Di situlah saya akan tarik sikit-sikit orang. Saya akan bagi sedikit penerangan, tak banyaklah. Kadang-kadang saya akan cakaplah tentang pengalaman saya. Kalau ada bengkel, saya akan cuba tarik dia orang. Selain dari itu, saya cuba tarik dia orang untuk berjumpa, kita buat mesyuarat kecil untuk berbincang masalah yang dihadapi dan hak-hak wanita. Saya ada buat dua, tiga kali. Adik-beradik ada membantu juga dalam memberitahu wanita Orang Asli yang lain tentang apa yang kami pelajari. Sekarang saya dapat bawa lebih sedikit ramai orang.

EMPOWER, bagi saya, peranannya adalah untuk mengajar, membimbing kami untuk berani bersuaralah, membantu memberi pendapat dan mencari jalan, macam mana nak buat untuk ketengahkan isu-isu kami, untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan hak-hak Orang Asli. Saya cuba tarik wanita Orang Asli yang lain untuk menghadiri bengkel EMPOWER sebaik mungkin. Saya cuba menerangkan macam mana EMPOWER melatih, membimbing wanita-wanita Orang Asli untuk berani ke hadapan. Itu adalah cabaran besar bagi wanita Orang Asli.

Kg Tering, 29 May 2016