Misah

Nama penuh saya Nor Nasuha binti Abdullah. Saya berasal dari RPS Khemah, Gerik, Perak. Saya Orang Asli Temiar. Saya dah berkahwin. Sebelum tu, saya duduk kat Sg Petani, saya bekerja kat situ. Saya dapat jodoh kat situ, saya kahwin, tapi saya tak de jodoh yang panjang, saya dah bercerai, saya dah ada anak satu, so saya pikir-pikir, saya balik kampung, kampung asal saya RPS Khemah. So sekarang ni saya stay kat RPS Khemah. Saya balik kampung, memang agak susah nak cari makan, nak kerja. Di situ kan tak de kerja yang banyak. Saya pun baru balik so macam getah ke apa ke, mata pencarian saya memang tak de. Memang saya susah nak cari makan kat kampung. Lepas tu, saya mula ikut kakak saya, cari, tumpang getah dia. Lepas tu, saya memikirkan kalau saya tak kerja macam mana saya nak bela anak saya yang seorang tu, nak tanggung sekolah dia, makanan harian kami. Saya jadi susah hati. Lepas tu, kami ada tubuhkan satu persatuan, jaringan. Saya mula aktif kat situ. So saya ceritakan kat kawan-kawan, saya cakap, kalau saya terus macam ini, saya tak boleh nak teruskan perjuangan kami sebab saya tak de kerja, nak bela anak saya macam mana, so kami ada tubuhkan satu tabung persatuan, kami beli getah kat kampung. Kawan-kawan syor kat saya, boleh tak kamu kerja kat situ untuk menampung hidup kamu? Saya pikir-pikir, boleh juga lah, sebab saya pun rasa berat hati nak keluar dari kampung, nak tinggalkan kampung sebab saya dah mula aktifkan diri dalam perjuangan untuk mempertahankan hak kami, hak tanah kami yang kerajaan dah kacau sekarang ni. So saya pikir, memang ada baik dia sebab dalam masa yang sama, saya boleh cari makan, dalam masa sama saya boleh perjuangkan hak kami sebagai Orang Asli yang dah kerajaan kacau tempat kami. So saya rasa bersyukur sangat-sangat walaupun pendapatan memang kurang lah orang kata, tetapi memang ada kebaikan dia lah. Dan sekarang saya mula aktif diri saya dalam jaringan. Mana-mana pun saya pergi. Ada mesyuarat saya pergi.

Saya memeluk Islam bukan secara paksa. Kalau Orang Asli, kebanyakkannya ada bin dengan binti, tetapi bila kita tengok dia punya IC [kad pengenalan], tidak tulis Islam, itu memang dia sah tak Islam sebab kerajaan memperislamkan tanpa pengetahuan orang individu itu. Tetapi yang saya ni, memang saya memeluk sendiri, tak ada paksaan. Saya memeluk Islam sebelum saya kahwin. Lepas saya cerai, saya balik ke kampung bukan kerana susah, tetapi saya dapat tekanan. So saya pikir lebih baik saya balik ke kampung. Bila saya mengimbas balik, mungkin ada hikmah. Orang Melayu kata ada hikmah, sebab macam sekarang kan, saya balik bukan sekadar balik tetapi ada benda yang menanti saya. Macam sekarang, saya aktif diri dalam perjuangan, saya tahu hak-hak kami sebagai Orang Asli. Kemungkinanlah, Dia [Tuhan] macam hantar saya balik kerana ada sesuatu yang saya sedar sekarang.

Saya mula-mula dapat tahu tentang EMPOWER dari jaringan kami, JKOASM. Pada masa saya mula mengikuti mesyuarat-mesyuarat jaringam kami, saya memang tak tahu apa itu jaringan. Bila saya ikuti mesyuarat ke mesyuarat, saya boleh dapat tahu apa itu jaringan sebenarnya. Kat situ saya sedar, jaringan ni menuntut hak kami, hak kanak-kanak kami, yang kerajaan janjikan.  Kat situ saya mula sedar yang saya ni berhak juga untuk berjuang. Sebab saya dah mula tahu tentang hak-hak saya, itu yang membuatkan diri saya untuk kuatkan diri saya, aktifkan diri saya, walaupun di kalangan jaringan semua lelaki. Saya dengan dia orang berlainan agama. Itu satu perbezaanlah, macam satu halangan untuk saya untuk bergaul dengan orang, aktifkan diri dalam jaringan kami. Tetapi saya sedar kat situ, kami perjuangkan bukan agama, tetapi kami perjuangkan hak kami sebagai Orang Asli. Saya walaupun beragama Islam, dia orang ada yang Kristian, ada yang agama Orang Asli sendiri, tetapi saya tetap Orang Asli. Kat situ saya sedar. Memang saya Muslim, tetapi saya dilahirkan Orang Asli bukan Melayu. So kenapa saya tak boleh aktifkan diri dalam perjuangan ni, kat situ saya mula sedar. Ada setengah-setengah pihak tak sedar dan masalah agama tu dibangkitkan, dibangkitkan dengan saya. Kita manusia kan, kita ada perasaan, so kita rasa tersentuh juga. Ada setengah pihak dia tak faham, so dia macam tak suka lah saya aktifkan diri, memperjuangkan hak-hak kami. Saya kuatkan semangat saya. Memang tak de orang yang beri semangat kepada saya. Kamu kena kuat, kamu tak payah dengar cerita-cerita yang bukan-bukan. Cuma diri saya bercakap dengan diri saya sendiri. Saya juga dapat tengok dengan EMPOWER ni, ada orang Melayu, ada Chinese, ada India, tapi dia orang bukan cakap pasal perkauman. Dia orang cakap pasal hak. So saya tengok kat situ, tak de halangan untuk kami sebagai Orang Asli untuk mencapai matlamat kami.

EMPOWER pertama kali buat program kat Pahang, saya ikuti program EMPOWER kat Pahang. Lepas tu, bengkel kedua EMPOWER buat kat KL saya ikuti juga. Ini kali ketiga saya ikuti program EMPOWER kat Ipoh. So saya rasa bila EMPOWER buat program macam ni, saya dapat banyak pengalaman yang saya tak tahu selama ni. Dan saya dapat tahu banyak hak-hak kami sebagai wanita yang tak pernah saya tahu lah. Saya rasa. Saya tak tahu macam mana nak cakap tentang EMPOWER. Sebelum saya ikuti program EMPOWER, saya banyak tak tahu ilmu macam mana saya nak berhadapan dengan kerajaan. Kami tak tahu macam mana nak uruskan untuk mendapat hak kami. Tetapi bila saya ikuti program EMPOWER, EMPOWER saya rasa beri jalan, nak uruskan benda tu macam mana. Saya bersyukur sangat-sangat kepada Tuhan. Kalau boleh saya nak ucap kat EMPOWER, ini ikhlas dan jujur dari saya, saya berterima kasih sangat-sangat kepada EMPOWER sebab EMPOWER banyak memperkenalkan tentang hak saya sebagai seorang wanita dan memberi jalan untuk kami sebagai Orang Asli untuk mempertahankan hak kami yang kerajaan beri selama ini tetapi dia orang menafikan hak kami. Sebenarnya kerajaan dah buat satu perjanjian [di peringkat antarabangsa] untuk menyelesaikan masalah kami Orang Asli, dari segi macam-macam masalah, pendidikan, pendapatan, kemajuan, tetapi dia orang tak jalankan apa yang dia orang janji, so EMPOWER dah buat jalan ini, saya rasa ada jalan sikit-sikit untuk saya lebih ke depan dan saya dah tahu cara macam mana nak menghadapi dengan kerajaan walaupun saya cakap saya tak berapa tahu lagi, tetapi saya akan tetap belajar. Kalau EMPOWER buat lagi program, saya akan ikuti sampai saya dapat apa yang saya mahu.

EMPOWER memang relevan untuk Orang Asli dan orang awam, sebab EMPOWER prihatin dengan masalah wanita. Bagi saya, EMPOWER adalah satu badan NGO yang prihatin kepada masalah, khusus sekali kepada wanita, wanita yang selama ini tidak tahu tentang hak dia. Itulah kalau kita nak tahu, kita kena ikuti program EMPOWER, memang cukup-cukup baguslah. Kalau nak kata nak harapkan JAKOA ke apa, saya rasa tak de lah. Apa yang membezakan bengkel EMPOWER dengan bengkel-bengkel lain ialah ia tumpu kepada wanita. Sebab dalam agensi, NGO yang lain, dia tak khusus kepada wanita. EMPOWER khusus kepada wanita sebab dia prihatin terhadap masalah wanita. Mungkin EMPOWER dapat nampak kekurangan dalam segi kesedaran, so dia cuba bangkitkan wanita itu untuk sedar tentang macam-macam perkara. Itu matlamat EMPOWER.

Gerik, Perak, 5 June 2016