Sudah Tiba Masa Untuk Minima 30 Peratus Perwakilan Wanita Di Dalam Kabinet

Sudah Tiba Masa Untuk Minima 30 Peratus Perwakilan Wanita Di Dalam Kabinet

 

 

Pemberitahuan:

 

Ini adalah sebuah usaha oleh aktivis dan penyokong hak asasi wanita. Ini bukan usaha tunggal Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER). EMPOWER hanya berkongsi terjemahan surat ini dalam Bahasa Malaysia, supaya penandatangan dan penyokong kempen #30peratus dapat memahami isi dan konteks tuntutan kempen ini.

 

Untuk menyokong kempen #30peratus dan menandatangani surat terbuka kepada Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamad ini, sila tandatangan di borang ini: http://tinyurl.com/30peratus

 

Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamad,

Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan

 

 

Boleh dikatakan bahawa kesudahan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 merupakan peristiwa yang sangat penting, sama seperti peristiwa pembentukan Malaysia, 55 tahun yang lepas. Rakyat telah menentang segala kemungkinan, dan membolehkan harapan yang sangat mendalam untuk negara bangsa yang baru sehingga menjadi realiti. Pengundi telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan dengan tanggungjawab untuk memperbetulkan segala yang telah sekian lama salah di Malaysia, dan ini termasuklah masalah kekurangan perwakilan wanita di dalam kabinet.

 

 

Pilihan Raya Umum Ke-14 melihat penyertaan wanita sebagai pengundi berdaftar melebihi jumlah pengundi lelaki di semua tempat kecuali dua negeri dan satu Wilayah Persekutuan. Wanita dalam pilihan raya dahulu dan kini, serta dalam sejarah Pakatan Harapan sendiri, telah memainkan peranan yang penting dalam membawa kejayaan yang besar dan bersejarah kali ini. Wanita-wanita ini telah memberi yang terbaik untuk sebuah permulaan baru di Malaysia, meskipun terlalu kurang calon wanita yang ditandingkan untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Ini adalah bukti kemahuan wanita untuk melihat perubahan yang akan menangani isu-isu dan permasalahan yang dihadapi mereka. Penyertaan wanita dalam sistem pilihanraya tidak boleh sekadar peranan sebagai pengundi. Wanita sepatutnya menyertai sistem dengan lebih substantif, terutama dalam proses pembuat keputusan. Adalah amat jelas tidak adil jika wanita diketepikan sekali lagi di dalam pembentukan kabinet baru.

 

 

Sejak perlantikan Fatimah Hashim sebagai menteri wanita yang pertama 49 tahun lalu, pada tahun 1969, kita masih belum pernah melihat lebih daripada 3 menteri wanita yang dilantik sebagai menteri penuh di dalam mana-mana pentadbiran di Malaysia. Hal ini membawa kesan negatif yang besar di Malaysia, di mana wanita sentiasa ditinggalkan dan dibelakangi ketika proses pembuatan keputusan di dalam pelbagai sektor, yang memberi kesan kepada wanita pelbagai etnik, agama, kawasan geografi, status sosio-ekonomi dan pelbagai jenis penanda lain. Contohnya, wanita telah terlalu lama dibelakangkan daripada proses pembuatan keputusan yang berkaitan dengan perundangan keluarga Islam. Hasilnya, wanita Muslim terus menerima ketidaksaksamaan institusi dalam hak penceraian dan nafkah.

 

 

Kami telah mendengar dan kami memuji komitmen Tun untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam ucapan Tun pada malam sebelum pilihanraya. Kami meraikan keputusan Pakatan Harapan untuk menjadikan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama, namun perlantikan beliau sahaja tidak memadai.

 

 

Kami telah menunggu terlalu lama untuk perwakilan wanita yang lebih bermakna dalam kabinet, dan kami tidak lagi boleh menerima justifikasi bahawa wanita belum bersedia untuk memimpin kementerian-kementerian. Kebanyakan ahli kabinet baru akan terdiri daripada orang baru yang kekurangan pengalaman, atau tiada pengalaman langsung di dalam kerajaan persekutuan, termasuklah lelaki. Ini membuka peluang untuk mencerminkan komitmen kerajaan baru untuk memasukkan wanita di dalam jawatan pembuatan keputusan yang penting, sepadan dengan potensi dan pengalaman mereka untuk menyumbang kepada pentadbiran yang baik.

 

 

Untuk pelantikan menteri-menteri, kami meminta Tun untuk mempertimbangkan 20 orang ahli parlimen wanita daripada Pakatan Harapan. Kami ingin menyerlahkan kekuatan beberapa orang calon yang tersenarai berikut:

 

 

  • Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh, PKR)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ijazah Sarjana di dalam bidang Perhubungan Antarabangsa (John Hopkins University)
    • Ahli parlimen selama tiga penggal, dan timbalan presiden PKR yang telah menegakkan kebebasan berhimpun dan berekspresi secara konsisten, dan juga pelbagai isu hak asasi manusia yang lain di Malaysia.

 

 

  • Hannah Yeoh (Segambut, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda Perundangan (University of Tasmania)
    • Bekas Speaker dan ahli Dewan Undangan Negeri Selangor selama dua penggal, ahli parlimen penggal yang pertama dan timbalan ketua wanita DAP. Beliau menyertai politik untuk menghentikan rasuah dan rasisme di Malaysia.

 

 

  • Kasthurirani Patto (Batu Kawan, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Mikrobiologi (Universiti Malaya)
    • Ahli parlimen untuk penggal yang kedua, dan dahulunya merupakan setiausaha politik untuk Lim Kit Siang dan setiausaha publisiti untuk Wanita DAP. Beliau mempertahankan hak asasi manusia, kepelbagaian dan isu yang bersangkutan dengan keselamatan negara.

 

 

  • Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya, Bebas)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Ekonomi Gunaan, Ijazah Sarjana di dalam Perancangan Bandar (University of London)
    • Dahulunya merupakan pengerusi BERSIH dan kini merupakan ahli parlimen penggal pertama. Beliau telah lama bekerja di dalam isu yang berkaitan tadbir urus yang baik, pembaharuan pilihan raya, perdagangan dan hak asasi wanita.

 

 

  • Teresa Kok (Seputeh, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik, Ijazah Sarjana di dalam bidang Sains Politik (Universiti Malaya)
    • Ahli parlimen untuk penggal yang kelima, timbalan setiausaha agung DAP dan bekas ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang mempertahankan perubahan perundangan untuk menegakkan hak asasi manusia di Malaysia.

 

 

  • Zuraida Kamaruddin (Ampang, PKR)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Sains Sosial (National University of Singapore)
    • Ahli parlimen penggal yang ketiga, dan pengerusi Institut Wanita Berdaya Selangor yang mempertahankan hak asasi wanita, dan telah bekerja secara aktif untuk meningkatkan penyertaan politik wanita.

 

 

  • Fuziah Salleh (Kuantan, PKR)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Psikologi Kaunseling, Ijazah Sarjana di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (University of Wales)
    • Merupakan ahli parlimen untuk penggal yang kedua, dan merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat PKR. Beliau dikenali dengan komitmen tinggi dalam bidang perlindungan alam sekitar.

 

 

  • Teo Nie Ching (Kulai, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda Perundangan (University of the West of England)
    • Ahli parlimen untuk penggal yang ketiga, dan setiausaha Wanita DAP yang mempertahankan akses rakyat kepada hak asasi, termasuklah perkhidmatan kesihatan dan air, dan juga hak asasi wanita.

 

 

  • Alice Lau (Lanang, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Farmasi, Ijazah Sarjana dalam bidang Farmasi (University of Strathclyde)
    • Ahli parlimen untuk penggal yang kedua yang mencipta sejarah ketika menjadi wanita pertama yang dipertandingkan oleh pembangkang di Sarawak. Beliau sangat komited di dalam isu hak asasi orang asal, isu kemiskinan, pembangunan luar bandar dan pendidikan.

 

 

  • Yeo Bee Yin (Bakri, DAP)
    • Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kimia Lanjutan (Cambridge University)
    • Merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri, dan kini merupakan ahli parlimen penggal pertama yang komited di dalam isu kemiskinan, belia dan pendidikan, dan juga penyertaan politik orang muda.

 

 

  • Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud, Warisan)
    • Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Universiti Malaysia Sabah)
    • Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, dan ahli parlimen untuk penggal yang pertama yang berfokus kepada isu-isu perlindungan alam sekitar, hak asasi wanita muda dan pembangunan luar bandar.

 

 

Senarai di atas jauh daripada lengkap. Terdapat ramai lagi calon yang sangat layak, tetapi senarai di atas kami gunakan untuk menunjukkan bahawa terdapat banyak wanita yang berkemampuan untuk dilantik sebagai menteri dalam kabinet baru.

 

 

Transformasi hanya akan terjadi dengan inklusi yang lebih besar, dan kepimpinan wanita yang pelbagai di dalam negara ini. Hal ini sepatutnya menjadi aspek teras komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan gender, dengan mencerminkan kesaksamaan ini di dalam kabinet.

 

 

Rakyat telahpun memilih. Kami percaya akan kebijaksanaan Tun yang termaklum melalui kemahuan rakyat akan membantu dalam perlantikan yang lebih baik.

 

 

Disediakan dan ditandatangani oleh penyokong dan aktivis hak asasi wanita seperti berikut:

 

  • Angela M. Kuga Thas
  • Jac sm Kee
  • Juana Jaafar
  • Rozana Isa
  • Rusaslina Idrus
  • tan beng hui
  • thilaga