Perwakilan Wanita Diperlukan Sebanyak Satu Pertiga di dalam Kerajaan

Perwakilan Wanita Diperlukan Sebanyak Satu Pertiga di dalam Kerajaan

 

 

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) ingin mengucapkan tahniah di atas perlantikan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia Ketujuh. Kami juga ingin melanjutkan ucapan tahniah kepada Pakatan Harapan yang kini memegang mandat Kerajaan Persekutuan Malaysia. Inilah era baru, dengan janji dan harapan supaya ada perubahan institusi dan struktur yang sangat diperlukan di negara ini.

 

 

Kami hendak mengingatkan Pakatan Harapan tentang janji untuk mempromosi kesaksamaan gender, dan ini perlu bermula dengan memastikan perwakilan wanita di dalam institusi utama pembuatan polisi dan undang-undang di dalam ketiga-tiga cabang kerajaan: Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Sehubungan itu, kami dengan segala hormatnya ingin menggalakkan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin parti daripada Parti Keadilan Rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Democratic Action Party dan Parti Amanah Negara untuk melantik ahli Parlimen wanita untuk memenuhi paling kurang satu pertiga daripada perwakilan di Kabinet, dan semestinya Exco Negeri.

 

 

Menurut sejarah, Malaysia tidak pernah ada lebih daripada tiga Menteri wanita di bawah mana-mana satu pentadbiran kerajaan. Kami menghargai penetapan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun kami tidak boleh mengetepikan keperluan untuk meningkatkan jumlah perwakilan wanita di dalam pembuatan polisi dan undang-undang. Pakatan Harapan telah membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa mereka berbeza daripada Barisan Nasional, dengan menamakan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri. Langkah ini sepatutnya diteruskan dengan meletakkan wanita-wanita yang berkemampuan daripada kalangan 21 orang wakil rakyat wanita Pakatan Harapan, untuk mengisi kedudukan utama di dalam Kerajaan Persekutuan dan Exco Negeri. Alasan-alasan bahawa wanita-wanita ini belum bersedia, terlalu muda atau sangat baru untuk melakukan tadbir urus, sudah tidak boleh diterima lagi. Ada lapan orang Ahli Parlimen yang merupakan pendatang baru, di atas jasa Pakatan Harapan yang meletakkan mereka sebagai calon. Namun sebenarnya, terdapat lebih ramai Ahli Parlimen lelaki yang juga merupakan pendatang baru di dalam tadbir urus kerajaan.

 

 

Sebenarnya, ramai wanita yang turun padang untuk mengundi ke arah perubahan, dan jumlah wanita yang mengundi jauh mengatasi jumlah pengundi lelaki di hampir semua kawasan. Inilah kesaksian bahawa pengundi wanita mahukan perubahan yang akan menangani isu hak asasi wanita dan pelbagai kebimbangan yang lain.

 

 

Malaysia mungkin memegang rekod jumlah 32 orang Ahli Parlimen wanita pada hari ini, tetapi jumlah ini masih jauh daripada sasaran minima 30% perwakilan wanita, atau satu pertiga daripada perwakilan yang kami tuntut sekarang. Kita perlu lebih berusaha untuk mencapai target minima ini, dan Pakatan Harapan sekarang berada di dalam posisi yang lebih baik untuk membuat apa yang tepat untuk wanita Malaysia – dan menegakkan janji-janjinya untuk pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender.

 

 

Disokong oleh:

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Sisters in Islam (SIS)

Association of Women Lawyers (AWL)

All Women’s Action Society (AWAM)

Perak Women for Women (PWW)

Women’s Aid Organisation (WAO)

Women’s Centre for Change (WCC)

Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)

Persatuan Sahabat Wanita, Selangor (PSWS)