Surat Terbuka Untuk Pakatan Harapan, Terutamanya Wanita Pakatan Harapan

Surat Terbuka Untuk Pakatan Harapan, Terutamanya Wanita Pakatan Harapan

 

 

 

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)* ingin mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan di atas kejayaan menjadi kerajaan baru di Malaysia. Kami telah memerhati dengan senang hati betapa pantasnya pengambilan beberapa langkah-langkah kritikal untuk memastikan perubahan perundangan dan struktur, yang akan diteruskan untuk kepentingan rakyat Malaysia. Maka, kami ingin mengucapkan tahniah dan memuji kerajaan Pakatan Harapan kerana telah mengambil langkah-langkah yang betul.

 

 

Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf dan mengucapkan tahniah, khususnya kepada setiap wanita Pakatan Harapan di atas pelbagai jasa yang telah dicurah, kepada setiap wanita yang telah berdiri sebagai calon pilihan raya, dan kepada setiap wanita yang telah bekerja keras untuk membantu dan menyokong kempen pilihan raya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

 

 

Kami telah menunggu terlalu lama untuk melihat wanita diangkat sebagai calon politik di dalam pilihan raya umum di Malaysia, dan sudah tentu ke arah pelantikan wanita di posisi utama di dalam kerajaan. Janji yang termaktub di dalam Buku Harapan, untuk memastikan 30 peratus perwakilan wanita merentasi semua jawatan pembuatan keputusan, telah dinyatakan di bawah Iltizam 5 (Iltizam Khas Untuk Wanita), bahawa Pakatan Harapan berjanji untuk “memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar di setiap peringkat adalah wanita”. Memandangkan kerja utama EMPOWER adalah untuk memastikan kesaksamaan politik wanita di Malaysia, maka janji ini mendapat tumpuan khas kami di antara janji-janji lain di dalam manifesto Pakatan Harapan. Ada seruan untuk memenuhi janji itu, bukan sahaja daripada organisasi hak asasi wanita seperti organisasi di dalam Joint Action Group for Gender Equality (JAG) dan National Council of Women’s Organisations (NCWO), tetapi juga wanita di akar umbi, yang mengundi dan percaya akan perubahan yang akan dibawa oleh Pakatan Harapan.** Sesungguhnya, tidaklah terlalu awal untuk memenuhi janji ini.

 

 

Hujah-hujah melibatkan merit berbanding kuota, merupakan hujah yang palsu. Langkah afirmatif yang diambil di bawah Dasar Ekonomi Baru (New Economic Policy) harus diingat kembali. Kuota kadang-kadang diperlukan untuk membantu dan memastikan akses kepada peluang yang sama rata. Ia penting untuk memastikan kemahuan politik diikuti oleh langkah susulan yang berpatutan untuk mencapai aspirasi yang dinyatakan. Kuota diibaratkan sebagai batu loncatan yang membantu kita mencapai matlamat dalam sesebuah isu, berpandukan kebolehan dan kemampuan kita. Kuota hanya bermasalah jika pelaksanaannya dangkal, dan disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri, dan biasanya melahirkan nepotisme dan kronisme. Maka, kuota digelar ‘langkah khas sementara’. Kita tidak akan memerlukan kuota untuk memastikan perwakilan wanita dalam politik, apabila kita tidak perlu lagi untuk mencipta suasana yang lebih memberdaya untuk wanita dipertimbangkan secara saksama sebagai pembuat keputusan di dalam kerajaan.

 

 

Tidak dinafikan lagi, wanita di Malaysia ialah kumpulan majoriti yang dipinggirkan. Ironi jelas untuk sebahagian daripada kita, wanita dan lelaki, yang sedar akan prejudis yang tertanam di dalam ramai orang terhadap wanita. Prejudis inilah yang membuahkan pelbagai bentuk diskriminasi dan keganasan seksual dan gender. Satu daripada bias paling besar di dalam masyarakat tentang wanita, yang juga disokong oleh sebahagian wanita, adalah untuk mengaitkan pengalaman negatif kepimpinan seorang wanita kepada kepimpinan semua wanita. Kecenderungan budaya untuk menjadikan pengalaman buruk di bawah kepimpinan wanita sebagai satu kemestian dalam kepimpinan semua wanita harus dihentikan. Ini akan kurang menjadi halangan jika wanita Pakatan Harapan tampil ke hadapan dan bersuara.

 

 

Kami menggalakkan setiap seorang daripada anda, sebagai wakil yang dipilih di Parlimen dan DUN untuk berfikir dan bekerja secara berbeza kali ini, untuk mencapai kesaksamaan gender dan anti-diskriminasi. Wanita di dalam politik memerlukan solidariti yang lebih besar yang melangkaui perbezaan politik, jika kita semua komited di dalam penghapusan semua jenis keganasan dan diskriminasi berbentuk gender di dalam negara kita. Kami menggesa anda supaya menyokong secara terbuka tentang seruan untuk memenuhi janji 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan, di dalam Kabinet, Dewan Negara dan EXCO Negeri.

 

 

Kami memang menghargai pelbagai pendirian yang diambil oleh wakil yang telah dipilih. Contohnya, bagaimana YB Nurul Izzah telah meminta Pakatan Harapan untuk memenuhi janjinya untuk memansuhkan Akta Anti Berita Palsu. Kami juga telah memerhati minat YB Hannah Yeoh di dalam memastikan kebebasan maklumat, dan penyabitan peribadi beliau bahawa kita semua sepatutnya dikenali sebagai bangsa Malaysia. Kami harap, bersama-sama ahli politik wanita yang lain, sebuah Akta Kebebasan Maklumat di peringkat persekutuan akan digubal, di atas prinsip bahawa setelah maklumat itu diminta dan diakses oleh seseorang (pada kos yang minima atau secara percuma), maklumat itu patut dapat diakses oleh semua orang tanpa permohonan atau kos tambahan. Kami juga berharap bahawa Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional boleh dikaji semula. Kami juga memerhatikan bahawa YB Maria Chin Abdullah telah berjanji untuk bekerja keras untuk mengembalikan pilihan raya tempatan, dan kami berharap untuk melihat hal ini direalisasikan. Semua isu tersebut, walaupun bukan dianggap sebagai isu wanita, tetapi mempunyai implikasi gender yang meluas.

 

 

Yakinkan kami, terutamanya pada masa kritikal pembentukan kerajaan sekarang, supaya janji dan iltizam di dalam Buku Harapan tentang kesaksamaan gender, seperti Akta Kesaksamaan Gender, bukan sekadar tokenisme. Tampillah ke hadapan dan bersuaralah. Kami mahu mendengar suara anda.

 

 

Angela M. Kuga Thas

Pengarah Eksekutif

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

 

 

*Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) ialah sebuah organisasi hak asasi wanita yang bekerja ke arah kesaksamaan politik wanita di Malaysia

 

 

**Untuk membaca surat terbuka daripada aktivis dan penyokong hak asasi wanita kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan juga untuk menyokong seruan 30 peratus perwakilan wanita di dalam kabinet, sila layari http://tinyurl.com/30peratus. Untuk membaca kenyataan media daripada JAG untuk menyeru satu pertiga perwakilan wanita, sila layari https://empowermalaysia.org/satupertigaperwakilanwanita.